Sunday 14 December 2014

SENI DALAM PENDIDIKAN

Seni adalah berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan rohani individu dan juga masyarakat. John Dewey (1919), menyatakan, pendidikan adalah satu proses untuk mengembangkan kecerdasan manusia, sekolah seharusnya memberi kanak-kanak kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelektual iaitu kebebasan untuk melatih kecerdasan melalui seni. Seni yang dimaksudkan adalah seni visual, seni muzik dan seni pergerakan.
Dari perspektif pendidikan dapatlah dikaitkan bahawa bidang-bidang pendidikan juga memerlukan estetika seni untuk diketengahkan bagi memudahkan penyampaian sesuatu maksud agar lebih menarik dan mudah difahami. Maka dengan itu lahirlah apa yang dikatakan Seni Dalam Pendidikan.
Seni Dalam Pendidikan atau SDP adalah bidang yang menumpukan kepada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari. SDP diwujudkan bagi membantu perkembangan yang seimbang individu itu sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. SDP diperkembangkan dalam diri murid untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka. Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati diri yang tinggi. Pengabungan seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan yang lebih bersifat holistik. 
Murid diberi peluang menggunakan pancaindera mereka untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti serta daya imaginasi dalam pembelajaran mereka. Selain itu SDP juga berperanan untuk mengembangkan daya persepsi, estetika dan kreativiti mereka sesuai dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi.
Ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang memberi pandangan menyokong bahawa Seni Dalam Pendidikan akan memberi manafaat dari segi jangkamasa panjang dalam membangunkan sahsiah dan jati diri individu. 
Teori Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar melalui pembelajaran secara meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau objek akan dapat mengekspresikan idea secara bebas dan kreatif, kerana adanya unsur-unsur seni dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka. Herman (1991), di dalam “Quadrant Concept” menyatakan bahawa seni dapat membantu pemikiran rasional dan intiutif seseorang individu. 
Einstein pula mencadangkan agar bidang sains yang bermatlamatkan untuk memahami deria manusia dimantapkan untuk pendidikan kanak-kanak. Gabungan dari pelbagai kecerdasan perlu diamalkan seperti kemahiran muzik, kecerdasan yang berkaitan dengan kecerdasan intutif, personal dan intrapersonal, praktik dan estetika, holistik dan analitik, emosional dan fizikal dan intelektual.
Teori Kecerdasan Manusia (1983) oleh Howard Gardner menyatakan  terdapat lapan jenis kecerdasan yang seharusnya disuburkan. Kecerdasan tersebut adalah kecerdasan logik–matematik, kecerdasan verbal-linguistik, kinestetik badan, muzik, visual-ruang, interpersonal, intra personal, dan naturalis. Penggabungan kesuburan dapat menangani masalah penyuburan kecerdasan minda kanak-kanak dan dapat menjana kecerdasan minda murid dengan lebih menyeluruh. Menurutnya, pendekatan yang berintegrasi terhadap pelbagai jenis kecerdasan memudahkan penerimaan pemikiran murid kepada yang lebih kreatif. Howard Gardner menyatakan, sekiranya hanya satu sahaja kaedah atau pendekatan yang digunakan di dalam sesuatu pengajaran, hanya murid-murid tertentu sahaja yang boleh mendapatkan bahan yang disampaikan. Ini disebabkan murid mempunyai kebolehan menaakul dan menerima maklumat dalam keadaan yang berbeza. Pendekatan yang berintegrasi dengan pelbagai jenis kecerdasan memudahkan penerimaan murid kepada yang lebih kreatif. Oleh itu, guru hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. SDP menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu. Dalam setiap kegiatan seni perkara seperti pemupukan nilai dan pemahaman unsur seni dihubungkaitkan dengan kemahiran asas seni. Cara bekerja yang teratur, cermat dan selamat dalam proses membuat sentiasa ditegaskan. 

Pelaksaan Seni Dalam Pendidikan di sekolah rendah perlulah merentasi semua matapelajaran. Guru matapelajaran hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan. Perancangan aktiviti juga perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar. Tiga unsur Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan juga pergerakan perlulah digabungkan dengan semaksimum mungkin bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda kanak-kanak sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah tersebut iaitu gabungan elemen seni dalam pendidikan, murid akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama dimana ianya lebih berpusatkan kepada guru.
Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah boleh dilaksanakan dengan menggabungjalinkan mata pelajaran tertentu dengan unsur warna (seni visual), irama (seni muzik), dan seni pergerakan. Penggabungjalinan ialah satu proses yang  menggabungjalinkan pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang integratif dan menyeluruh. Pengabungjalinan ini bertujuan membantu murid dalam penguasaan pelbagai kemahiran secara serentak dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya dapat meningkatkan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran, lebih menarik minat pelajar terhadappengajaran danpembelajaran, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna kepada murid-murid dan memberi ruang sertapeluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid-murid secara seimbang dan menyeluruh.

No comments:

Post a Comment